Powered by Blogger.

Written By CikSuyKaPaste on Saturday, May 24, 2014 | 8:51 PM

Keadaan kereta Perodua Viva yang tersadai selepas kemalangan.

Perbuatan dua lelaki menaiki motosikal melawan arus gara-gara mahu melarikan diri daripada sekatan jalan raya, membawa padah selepas bertembung dengan Perodua Viva di Kilometer 148.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan atas Jambatan Bukit Kuang, di sini, lewat petang kelmarin.

Akibat pertembungan itu, seorang lelaki berusia 29 tahun tercampak ke celah saluran paip besar, sementara rakannya berusia 28 tahun pula tercampak ke atas jalan dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang berkenaan.

Kereta Perodua Viva yang dirempuh, rosak teruk namun pasangan suami isteri yang menaiki kenderaan itu tidak mengalami kecederaan parah.

Pemandu, Mohd Pahsli Shafirul Rosli, 27, berkata, dia bersyukur kerana isterinya, Nur Hidayatul Akma Abd latif, 29, yang mengandung enam bulan, terselamat namun mengalami kesakitan pada bahagian bahu.

“Saya terkejut ketika kereta menuruni jambatan, secara tiba-tiba datang sebuah motosikal menghala ke arah kami. Ketika itu saya memandu di lorong kanan dan tak sempat elak sebab jarak terlalu dekat.

“Lepas bertembung, saya hanya fikirkan keselamatan isteri sebab dia sarat mengandung anak sulung, tapi mujurlah isteri pakai tali pinggang keledar. Kalau tak, mungkin dia terhentak ke depan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Semasa kejadian, Mohd Pahsli bersama isterinya dalam perjalanan dari Kerteh menuju ke Cherating, Pahang untuk menemui orang tua mereka yang menginap di kawasan peranginan itu.

Orang awam melihat Perodua Viva yang remuk teruk selepas bertembung dengan motosikal dinaiki dua lelaki dalam nahas di Jambatan Bukit Kuang, Kemaman, petang kelmarin. -Sinar Harian
Kejadian itu mengakibatkan Mohd Pahsli yang bekerja sebagai operator di pelantar minyak, mengalami luka kecil akibat terkena serpihan cermin yang bertaburan.

Sementara itu, kedua-dua lelaki terbabit yang menaiki Honda EX5 pula dalam perjalanan dari Bukit Kuang menuju ke Bandar Chukai.

Mereka turut membawa selonggok besi buruk di dalam raga motosikal menyebabkan besi berkenaan bertaburan di atas jalan raya selepas pelanggaran berkenaan.

Nahas itu menyebabkan lelaki berusia 28 tahun mengalami patah paha, manakala rakannya pula cedera di kepala.

Mereka kemudiannya dihantar ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman di Chukai untuk rawatan  lanjut.-Sinar Harian, gambar Facebook Love Kemaman


Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 comments:

Post a Comment

Malaysia Kiter© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By NIHA OWNERS
SARAWAKIAN OWNERS SARAWAKIAN OWNERS SARAWAKIAN OWNERS SARAWAKIAN OWNERS